Tiong Lai bertegas adakan EGM
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertegas untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua pada 28 November ini.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan akur jika semua perwakilan bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti yang akan ditentukan tarikhnya secepat mungkin.
“Buat masa ini, EGM masih diteruskan seperti yang dicadangkan sebelum ini. Jika semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti, maka EGM itu tidak perlu diadakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, beliau berkata, Perdana Menteri menyambut baik cadangan untuk mengadakan pemilihan parti.
“Perdana Menteri berpendapat pemilihan parti akan menjadi satu wadah untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA kebelakangan ini.
“Bagaimanapun, kami (perwakilan MCA) harus meneliti beberapa perkara penting sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung EGM mahupun pemilihan parti,” jelasnya.
Ujar beliau, apa-apa keputusan yang diambil dengan persetujuan perwakilan MCA, pihaknya akan mengumumkan secepat mungkin.
“Apa yang penting bagi kami adalah menyelesaikan masalah dalaman parti seperti yang dikehendaki oleh beberapa pihak termasuk Perdana Menteri.
“Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek turut setuju dengan cadangan pemilihan parti. Maka, kini tugas kami adalah mendapatkan pandangan daripada semua perwakilan MCA,’’ jelasnya.