Friday, January 7, 2011

Teoh Beng Hock

By : DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue : PUTRAJAYA
Date : 07/01/2011
Title : KEWUJUDAN SURUHANJAYA DIRAJA - KES KEMATIAN TEOH BENG HOCK

Pejabat Perdana Menteri
1. Pada 5 Januari 2011, Majistret Mahkamah Majistret Shah Alam telah membuat satu keputusan terbuka di dalam inkues yang telah dibuat ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock.
2. Saya telah dimaklumkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara bahawa beliau akan memfailkan satu permohonan semakan (“revision”) di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan Majistret tersebut.
3. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneruskan keputusan yang telah dibuat sebagaimana yang telah saya nyatakan pada 22 Julai 2009 (seperti yang dilampirkan), untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja dengan terma-terma khusus, untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan untuk menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh Beng Hock.
4. Sehubungan dengan itu, satu Suruhanjaya Diraja di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang diberi kuasa untuk menyiasat perjalanan atau pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan di mana sesuai untuk menyiasat kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, akan diwujudkan.
5. Suruhanjaya Diraja tersebut akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli-ahli Suruhanjaya yang terdiri daripada orang-orang yang terbilang (“eminent”) dan dihormati. Suruhanjaya ini akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas satu tauliah perlantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang DiPertuan Agong (“YDPA”) di bawah seksyen 2 Akta 119 dan boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana yang dibenarkan di bawah seksyen 5 Akta 119.

Flashback

By

:

DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Venue

:

PEJABAT PERDANA MENTERI

Date

:

22/07/2009

Title

:

KEPUTUSAN KABINET MENGENAI KES KEMATIAN TEOH BENG HOCK

1. Kabinet pada mesyuaratnya hari ini telah membincangkan dan mengambil maklum pandangan semua pihak berhubung kematian Saudara Teoh Beng Hock pada minggu lepas. Bagi pihak Jemaah Menteri saya mengucapkan takziah kepada keluarga Saudara Teoh di atas pemergiannya.

2. Selaras dengan konsep “1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” saya telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa institusi kerajaan diwujudkan hanya untuk menjaga hak dan kepentingan rakyat. Oleh itu semua institusi kerajaan bertanggungjawab memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Institusi kerajaan tidak boleh bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat, membelakangkan kepentingan rakyat serta melebihi undang-undang dan perlembagaan negara.

3. Maka dengan itu, Kabinet mahu penyiasatan kematian Saudara Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian tersebut. Oleh itu, Kabinet hari ini mengambil keputusan berikut:

i) Pihak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis telah diarahkan menyelesaikan siasatan kes ini dengan secepat mungkin dan laporan ini akan diumumkan.

ii) Satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Saudara Teoh. Saya difahamkan inkues ini mungkin dapat dimulakan pada minggu depan.

iii) Satu Suruhanjaya Diraja akan diwujudkan dengan terma-terma khusus, iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Saudara Teoh. Ini bertujuan memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

4. Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian tersebut agar keluarga Saudara Teoh dan masyarakat mengetahui sebenarnya apa yang berlaku. Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa saja yang perlu untuk mencari kebenaran dalam kes ini. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga Saudara Teoh hasil siasatan ini nanti kerana saya telah dimaklumkan bahawa keluarganya minta kerajaan mencari kebenaran punca kematiannya. Apabila ada dapatan tertentu saya akan sampaikan kepada keluarganya.

5. Oleh itu, saya harap semua pihak bersabar dan tidak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat yang menimbulkan persepsi yang salah serta menjadikan kes ini satu isu politik sementara proses siasatan berjalan. Kita tidak sepatutnya campur aduk kes ini dengan urusan politik kerana yang penting ialah mencari kebenaran punca kematian beliau.

“We want to establish the truth, the whole truth and nothing but the truth in this case. The process of investigations will be forthright and transparent. We regard every human life to be sacrosanct, and civil liberties to be inviolable, and these are important values under 1Malaysia concept as well”.